Nujum Pak Belalang

Nujum Pa' Blalang (kini dieja sebagai Nujum Pak Belalang) merupakan sebuah filem bahasa Melayu yang berunsur komedi pada tahun 1959 serta diarahkan dan dilakonkan oleh P. Ramlee. Filem ini berbaur cerita dongeng epik yang berlatar belakangkan budaya masyarakat Melayu lama. Filem ini turut memenangi "Filem Komedi Terbaik" di Festival Filem Asia ke-7 di Tokyo, Jepun.
Filem dimulakan dengan diperkenalkan watak Belalang, seorang budak yang sangat rajin dan melakukan kerja ladang serta mengambil upah untuk menyara hidup keluarganya. Beliau mempunyai seorang bapa yang dipanggil Pak Belalang, yang merupakan seorang yang sangat malas dan kerjanya hanya tidur siang malam. Apabila orang bertandang ke rumah, di dapurnya tiada apa walaupun kopi. Akhirnya, tetamu dijemput minum minuman campuran arang bontot kuali.
Pada suatu hari, Belalang terserempak dengan dua orang pencuri, Badan dan Nyawa, yang mencuri kambing dan lembu orang kampung. Belalang menakut-nakutkan pencuri tersebut dengan menyamar menjadi "anak jin yang mahu makan darah" untuk mendapatkan balik lembu dan kambing sebaik pencuri tersebut melarikan diri. Di rumah penghulu, dua orang pengembala yang kehilangan lembu dan kambing dan orang kampung mencari penghulu untuk melaporkan hal tersebut. Dalam keriuhan, Belalang muncul dan mengatakan bapanya seorang nujum yang mampu mengetahui kedudukan lembu dan kambing tersebut. Dalam perasaan tak percaya, penghulu dan orang kampung yang lain turut ke rumah Pak Belalang.
Pak Belalang (yang masih tidur) dikejutkan dengan kehadiran orang ramai. Pak Belalang tak tahu apa yang berlaku walaupun dia tahu itu semua rancangan anaknya. dia mengikut sahaja arahan anaknya, lalu mengambil semangkuk air dan dijampi (walaupun tidak tahu apa jampinya). Air itu kemudian ditunjukkan kepada penghulu dan si pengembala dan jika mereka tidak nampak, diugutnya bahawa mereka pendek umur. Pak Belalang turut tidak nampak apa-apa di dalam air tersebut tetapi mujur Belalang yang mengetahui kedudukan lembu dan kambing itu dapat memberitahu mereka lalu meyakinkan orang kampung akan kebolehan Pak Belalang.







0 comments: